Tuesday, January 24, 2012


Pegawai bank hidup di jalanan

KUALA LUMPUR: “Sebelum ini semuanya berjalan lancar, malah kehidupan saya sebagai pegawai bank agak stabil, tetapi semuanya hancur berkecai selepas menjadi mangsa pukau sebelum dipaksa menganut agama lain,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar, 30-an, di sini, semalam.
Anwar, lulusan ijazah sarjana muda kewangan dari sebuah universiti tempatan pada 1993, kini mendapatkan perlindungan di Anjung Singgah, di sini, dan kini dalam proses mencari kerja bagi membina kehidupan baru.
Dia seorang dari beberapa gelandangan berkelulusan universiti yang hidup merempat dengan mendapatkan bantuan makanan dan tempat tinggal daripada beberapa pertubuhan sukarela di ibu kota.

Menceritakan kejadian yang memusnahkan hidup dan kerjayanya, Anwar berkata, kerjaya perbankan diceburi hampir 13 tahun musnah selepas dipukau sebelum dibawa ke merata negeri termasuk negara jiran, dua tahun lalu.

Masalah itu, katanya, bermula dengan perkenalan dengan seorang mubaligh yang kerap datang berurusan di bank tempat kerjanya.

Kepala berkecai dihentam bunga api

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kepalanya berkecai ketika cuba memeriksa satu daripada tiga bunga api disangkakan tidak berfungsi, tetapi meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Taman Seputeh, Luyang, di sini, awal pagi kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa dikenali sebagai By Shaow Yong, 26, dikatakan menyalakan tiga bunga api berkuasa tinggi yang mampu membentuk objek di udara, berhampiran rumahnya sempena Tahun Baru Cina, kira-kira jam 12.30 tengah malam. 
Dua daripada bunga api dipercayai sama jenis digunakan pihak berkuasa bagi menyambut sesuatu perayaan meletup di udara, manakala satu lagi tidak berfungsi, menyebabkan mangsa cuba melakukan pemeriksaan sebelum ia meletup.

Letupan secara tiba-tiba itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter dan ahli keluarga yang cuba memberikan bantuan terkejut apabila mendapati sebahagian daripada kepalanya hancur.



Difahamkan, bunga api berkenaan dibeli dengan harga RM500 dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari China.

Usah abai buang air besar

JIKA di kawasan perumahan anda ada tertampal poster yang mengajak menjalani saringan kanser usus secara percuma, janganlah memandangnya sebelah mata. Ia adalah peluang baik untuk membawa ibu bapa yang sudah berumur menjalani pemeriksaan awal tanpa perlu bersusah payah ke hospital.
Meskipun kanser usus lebih kerap berlaku pada warga senior (berumur 50 tahun ke atas) kaum Cina, tidak bermakna kita yang berbangsa lain terlepas daripada kemungkinan menghidap penyakit ini kerana serangan kanser tidak me�ngenal batasan keturunan dan kedudukan.
Foto
PELIHARA KESIHATAN...usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa.



Anda tidak perlu risau menyertai program saringan kanser usus atau kolon anjuran Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Empowered! kerana ia dikendalikan doktor pakar dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakita�ngan perubatan. Malah anda juga tidak perlu beratur panjang di hospital kerana kumpulan sukarelawan ini yang akan datang ke kawasan perumahan terpilih untuk memberikan perkhidmatan mereka secara percuma.

Menurut Presiden dan Pengasas Empowered!, Dr Christina Ng, saringan ini diadakan khas untuk golongan berpendapatan rendah supaya jika ada kanser bahaya ini dapat dikesan awal. Semua orang tahu rawatan untuk kanser bukan murah, justeru lebih baik jika ia dapat dikesan awal kerana rawatannya akan lebih mudah (dan pastinya agak murah).



Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.


Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.

Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.




Tanda-tanda

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

  • Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.
  • Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.
  • Najis bercampur dengan darah.
  • Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).
  • Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).
  • Perut rasa memulas.
  • Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).
  • Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).
  • Muntah.
  • Hilang selera makan.
  • Berat badan turun tanpa sebab.
  • Kerap penat.
  • Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air. 

  • Faktor risiko

    Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:
  • Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.
  • Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.
  • Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.
  • Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.
  • Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.
  • Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.
  • Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.
  • Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.
  • Kurang bersenam.

  • Saringan dan pengesanan

    Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap ‘pembawa maut’, ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

    Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

    Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, iaitu antara 85 hingga 95 peratus, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.

    Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan. Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).

    Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun, peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.

    Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda antara 26 hingga 29 bulan.

    Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang.

    Menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan kanser yang mahal, Dr Christina memulakan program saringan sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah. 

  • Pakar kesihatan menganggarkan 70 peratus kes kanser usus boleh dicegah melalui perubahan tabiat pemakanan dan bersenam. Malah, melakukan aktiviti yang kurang menggunakan tenaga selama dua jam seperti membersihkan rumah juga didapati boleh memberi banyak perubahan kepada kesihatan seseorang.

    Melalui program yang sama, penduduk diajar cara untuk mengurangkan risiko mendapat kanser iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti:
  • Mengambil pemakanan seimbang
  • Mengekalkan berat badan normal
  • Meningkatkan aktiviti fizikal
  • Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.


  • Kurangkan kolesterol

    HARI ini bermula Tahun Naga yang dianggap sebagai tahun yang sangat istimewa dalam kalendar Cina kerana haiwan mistik ini bukan saja menjadi lambang kebesaran dan kemegahan maharaja zaman dulu, malah ia dikatakan akan membawa tuah.
    Pemilihan sajian untuk sambutan hari besar bagi kaum Cina ini dilakukan dengan teliti dan biasanya mereka akan menghidangkan makanan yang mempunyai perkataan dengan makna bernasib baik, tuah, makmur, kekayaan, kegembiraan dan kesejahteraan serta panjang umur.
    Menurut Pakar Perunding Diet, Indra Balaratnam, antara makanan yang ada makna perkataan di atas termasuk udang, ikan, yee sang, salad, limau mandarin, nanas, buah-buahan kering, biji-bijian, sosej Cina, daging panggang manis, tat nanas, kuih kapit dan kuih bangkit.

    Pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini, buah naga mendapat permintaan yang tinggi kerana ia bertepatan dengan simbol Tahun Naga. 


    Namun soal kepercayaan dan tuah tahun tidak sepatutnya mempengaruhi corak pengambilan makanan, khususnya bagi mereka yang ada masalah kesihatan. Pun begitu, kata Indra, pada hari istimewa ini, tidak mengapa jika terlebih makan sedikit kerana ia hanya disambut setahun sekali.

    “Seperti perayaan lain, makanan yang dihidangkan pada Tahun Baru Cina juga tidak terlepas daripada mengandungi banyak lemak, gula dan garam. Seperti yang saya katakan, oleh kerana makanan ini hanya dinikmati setahun sekali, maka tidak mengapa jika makan lebih sedikit.

    “Bagaimanapun, ada satu perkara yang perlu diingat iaitu cara memasak sangat penting untuk mengurangkan lemak dan kalori dalam semua sajian tahun baru ini. Kalau anda makan di luar, pesan makanan yang dikukus, bukannya bergoreng.

    “Beringat juga apabila mengambil makanan sampingan seperti kerepek, biskut dan kek. Bukan tidak boleh ambil langsung tetapi bersederhana kerana makanan ‘kecil’ seperti ini memberi sumbangan besar dalam pertambahan kalori.

    “Kini banyak keluarga yang makan di restoran pada makan malam tahun baru kerana ia lebih mudah. Malangnya, set yang mempunyai lapan hingga 10 bahagian hidangan mengandungi kalori yang sangat tinggi dan ia juga merangsang kepada masalah terlebih makan.

    “Jadi, jika anda dan keluarga merancang untuk makan di luar, jangan memesan terlalu banyak makanan. Pilih sajian ringkas kerana apa yang lebih penting ialah bergembira dapat makan bersama-sama,” katanya.

    Benarkah pendapat yang mengatakan minum teh Cina dapat membersihkan lemak yang dimakan? Tidak. Pendapat ini tidak benar, kata Indra.

    Teh Cina tidak boleh membasuh lemak yang masuk ke dalam perut, tetapi ia kaya dengan bahan antioksidan yang dapat membantu menguatkan sistem imun. Malah ia pilihan lebih baik berbanding minuman berkarbonat yang banyak dihidangkan dalam mana-mana perayaan.

    Apa yang menarik, pada musim perayaan ini, kaum Cina terutama keluarga yang mementingkan pengambilan sayur-sayuran akan tetap menghidangkan sajian berasaskan sayur untuk memastikan makanan dihidang seimbang.

    Penulis juga adalah orang yang menantikan kedatangan Tahun Baru Cina kerana inilah masanya untuk menikmati limau mandarin sepuas hati. Soalnya, limau yang hanya ada setahun sekali ini dimakan banyak? Ya, kata Indra. Ini kerana limau mandarin mempunyai ciri yang menarik iaitu:

  • Ia terdiri daripada 85 peratus air dan hanya mengandungi 64 kalori. Ini menjadikan ia snek rendah kalori terbaik terutama untuk mereka yang menjaga atau mahu mengurangkan saiz pinggang.
  • Setiap limau mandarin memberikan kita dua gram serat dan ia adalah makanan yang baik untuk mengurangkan paras kolesterol yang tinggi.
  • Dengan kandungan lebih 50 peratus daripada pengambilan vitamin C harian anda, limau mandarin juga sangat baik untuk kulit. Vitamin C membantu dalam penghasilan kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit dan mengurangkan kedut.
  • Penglihatan anda turut mendapat kebaikan limau mandarin ini kerana ia menyumbangkan kira-kira 16 peratus daripada jumlah pengambilan vitamin A harian. Vitamin ini membantu menghasilkan pigmen retina untuk penglihatan yang baik.
  • Bagi pesakit diabetes, perlu berhati-hati kerana limau mandarin ini manis. Justeru, jangan makan terlalu banyak pada satu-satu masa kerana ia boleh menaikkan paras gula dalam darah. Jumlah yang disarankan ialah sebiji pada satu masa.


    Panduan pemakanan sihat Tahun Baru Cina
  • Ajar diri bersabar apabila berhadapan dengan makanan. Ini kerana anda akan mengunjungi banyak rumah terbuka, jadi buat perancangan bijak. Makan sedikit di setiap rumah yang anda kunjungi.
  • Elakkan makan terlalu banyak makanan bergoreng. Sebaliknya, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan serta bersederhana dalam pengambilan daging, ayam dan makanan laut.
  • Di parti, jangan berdiri di sebelah meja yang menghidangkan makanan. Anda akan terdorong untuk ambil lebih makanan. Berpindahlah ke tempat lain selepas habis makan supaya anda ada lebih banyak peluang untuk berbual.
  • Pada musim perayaan ini juga, kebanyakan tuan rumah menyediakan minuman beralkohol. Minum banyak air masak untuk memastikan badan anda mempunyai cukup air. Sebagai panduan mudah, apabila anda minum segelas minuman beralkohol, ambillah segelas air masak.
  • Bersederhana dalam mengambil biskut, kek dan sajian manis lain. Makanan ini kurang berkhasiat tetapi tinggi kandungan lemak dan gula. Untuk mereka yang sukakan sajian manis, ambillah buah-buahan segar yang bukan saja enak malah kurang kalori.
  • Hadkan pengambilan air berkarbonat dan minuman ringan lain. Sebaliknya, pilih teh Cina atau air masak.
  • Teruskan amalan senaman harian pada musim perayaan ini. Mulakan hari anda dengan bersenam pada waktu pagi untuk membakar kalori sebelum anda melancarkan misi pergi ke rumah terbuka.


    Resipi


    Udang kukus berlimau (lima orang)

    1.2 kilogram udang besar
    3 helai daun limau purut dihiris halus
    2 sudu teh perahan limau nipis (boleh tambah ikut kesesuaian rasa)
    5 sudu makan sos cili Thai
    Garam secukup rasa (jika cukup masin tidak perlu tambah)
    1 sudu makan minyak masak
    Daun parsli untuk hiasan


    Bahan A (ditumbuk)

    1 biji bawang besar
    2 ulas bawang putih
    3 batang serai
    3 atau 4 biji cili padi


    Cara membuatnya:

    1. Panaskan pengukus. Gunting kaki udang. Biarkan kulit udang atau membuang kulitnya. Susun udang dalam pinggan dan tekap dengan tisu dapur untuk mengering�kan airnya. Ketepikan.

    2. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan yang ditumbuk. Kacau hingga naik bau.

    3. Masukkan daun limau purut, perahan limau nipis, sos cili, cili padi dan kacau lagi hingga mendidih. Padam�kan api dan tuangkan sos ini ke atas udang tadi.

    4. Kukus udang lapan hingga 10 minit atau udang menjadi merah. Hiaskan dengan daun parsli dan hidangkan.


    Analisis nutrien setiap sajian:

    Kalori: 245
    Jumlah lemak: 6 gram
    Lemak tepu: 0.8 gram
    Kolesterol: 274 miligram
    Karbohidrat: 0.4 gram
    Protein: 37 gram

  • Urat putus lengan terbelah


    PUTRAJAYA: “Nak tunggu ada nyawa melayang agaknya, baru nak turun buat kerja,” kata seorang kakitangan kerajaan, Idrus Ismail, 38, yang tidak berpuas hati dengan pihak penyelenggara di kawasan kediamannya di Kuarters Kerajaan Fasa C, Presint 8, di sini.
    Perasaan kecewa dan tidak puas hati itu bertambah, berikutan kemalangan yang menimpa anaknya Ain Damia Yusra, berusia tujuh tahun, apabila singki di bilik air rumahnya yang rosak terjatuh Khamis lalu dan serpihan sinki menimpanya.
    “Pada pagi hari itu Ain Damia menggunakan bilik air untuk mandi sebelum ke sekolah. Ketika dia mahu mengambil berus gigi, singki itu terjatuh dan serpihan tajam sinki terkena tangan kanannya.




    “Dia terus dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan. Doktor memaklumkan urat tangannya terputus dan perlu dijahit, malah dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk sembuh,” katanya.



    Menurutnya dia kesal dengan sikap pihak terbabit kerana lewat mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat, sehingga menyebabkan kemalangan itu.

    Aib hari pernikahan 



    GOMBAK: Seorang wanita dan keluarganya bukan saja menanggung malu apabila majlis perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan sebaliknya kerugian lebih RM30,000 selepas ditipu teman lelaki kasanova yang mendakwa dirinya bergelar ‘Datuk’ dalam kejadian di Taman Sri Gombak, di sini.
    Mangsa, 22, menanggung malu dengan saudara-mara, kawan dan jiran serta kadi selepas pengantin lelaki berusia 32 tahun terbabit tidak menghadirkan diri bersama rombongan pada hari pernikahan mereka, Khamis lalu.
    Majlis sepatutnya berlangsung jam 10 pagi di sebuah masjid di sini, tetapi sehingga tengah hari, kelibat lelaki dan rombonganya itu tidak muncul dan gagal dihubungi.

    Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Farhana, 22, berkata sebaik menyedari tertipu dia menghubungi pihak bank dan mendapati wangnya dalam bank berbaki RM8 kerana tanpa sedar sudah membuat pemindahan beberapa kali ke akuan lelaki itu.



    Menceritakan kejadian menimpanya itu, dia pelik kerana sanggup dan rela mendirikan rumah tangga dengan lelaki terbabit walaupun baru lebih sebulan mengenalinya, selain sudah menyerahkan wang ribuan ringgit.